Sat. Apr 27th, 2019

Review Piala FA Pusingan Kedua ; Selangor V Terengganu

Perjuangan Selangor untuk Piala FA untuk musim ini nampaknya tersekat sekadar di pusingan kedua selepas tewas mengejut kepada Terengganu dengan jaringan 1-3.

Selaku pilihan untuk memenangi perlawanan ini, Selangor tampil dengan kesebelasan terbaik mereka kecuali Andik Vermansyah yang terpaksa direhatkan selama 2 minggu akibat mengalami kecederaan Hamstring sewaktu bertemu Sarawak di saingan Liga Super. Tempat Andik diambil alih oleh K.Gurusamy yang membuat penampilan selaku kesebelasan pertama buat pertama kalinya untuk musim ini.

Selangor bermula agresif memburu jaringan awal. Buktinya seawal minit ke-10 Selangor melalui penyerang Afiq Azmi nyaris membuka akaun gol Selangor namun rembatan beliau sedikit sipi untuk masuk ke gawang Terengganu yang dikawal bekas penjaga gol Selangor ; Sharbinee Alwi.

Selangor kekal bernafsu melancarkan serangan kearah gawang Terengganu dan hasilnya pada minit ke-21 Selangor mendapat gol melalui tandukan cantik Guilherme dePaula tepat menerjah gawang lawan.

Seperti tersentak dari lena selepas dibolos, Terengganu yang dibimbing Abdul Rahman Ibrahim mula mengatur serangan ke kubu Selangor. Minit 24 , mereka nyaris mendapat gol penyamaan melalui sepakan deras Ismail Faruqi taktala Syamim Othman sudah hampir tertewas namun bola keluar sedikit dari tiang gol.

Bermula separuh masa kedua, Terengganu membuat pertukaran pemain seawal minit ke-48 apabila membawa masuk Fakhrurazi Musa bagi menggantikan ayam tambatan mereka Abdul Manaf Mamat yang nampak seperti beraksi dibawah keupayaan.Kemasukan pemain ini nampak berjaya mengimbangi jentera tengah mereka yang longlai selepas mudah dikawal baik Nazmi Faiz Mansor dari Selangor.

Minit ke-55, Selangor mendapat sepakan percuma selepas salah seorang pemain Selangor dikasari pemain Terengganu dan sepakan yang diambil Ahmad Hazwan Bakri  padu dan tepat ke gawang Terengganu tetapi dapat ditepis Sharbinee.

Perlawanan bertambah rancak dengan kedua pasukan saling berbalas serangan selepas itu dan pada minit-63 Terangganu mendapat sepakan percuma betul betul dihadapan kotak penalti Selangor akibat kegopohan pertahanan Selangor cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. Namun sepakan cantik yang diambil import Terengganu dari Argentina Gustavo Lopez berjaya dihalang Syamim Othman dari menerjah jaring dengan membuat aksi akrobatik melayangkan badan menyelamatkan keadaan.

Melihat unit serangan seperti kurang efektif selepas diasak, Mahmet Durakovic membuat penggantian dengan memasukkan Fitri Shazwan dan mengeluarkan K.Gurusamy.

Permainan terus berlangsung dengan rancak dan menghiburkan dengan serangan nampak lebih tertumpu kegawang Selangor oleh pemain Terengganu yang sedar mereka ketinggalan jaringan.

Dengan perlawanan seolah olah seperti berpihak kepada Selangor , tanpa disangka pertahanan Terengganu Vincent Bikana menjaringkan gol penyamaan dua minit sebelum masa sebenar tamat seterusnya mengheret perlawanan ke tambahan masa untuk mencari pemenang.

30 minit tambahan masa seolah menjadi detik derita buat Selangor apabila Terengganu menambah dua lagi gol masing masing melalui jaringan sendiri pertahanan Selangor Robert Cornthwaite pada minit 104 dan minit 120 Zairo Anuar Zailani membunuh semangat Selangor dengan jaringan ketiga Terengganu.

Selangor (4-4-2)

Syamim Othman (GK), Rizal Fahmi Rosid (K) , Robert Cornthwaite, Mohd Azraf, Raimi MdNoor, Nazmi Faiz (S.Veenod), Leandro dosSantos, Hazwan Bakri, K.Gurusamy (Fitri Shazwan), Afiq Azmi (Abdul Hadi Yahya) , Guilherme dePaula

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *